1]
Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan baginya.
[2]
Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang diturunkan dari
Tuhan mereka lepas satu: satu, melainkan mereka memasang telinga
mendengarnya sambil mereka mempermain-mainkannya –
[3]
Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan mengamalkan
maksudnya. Dan orang-orang yang zalim itu, berbisik-bisik sesama sendiri
dengan berkata: “Bukankah (Muhammad) ini hanyalah seorang manusia biasa
seperti kamu? Maka patutkah kamu turut hadir mendengar sihir yang
dibawanya itu sedang kamu nampak dan mengetahui karutnya?”
[4]
(Bagi menjawab mereka, Nabi Muhammad) berkata: “Tuhanku mengetahui
tiap-tiap perkataan (yang dilahirkan atau disembunyikan oleh
makhluk-makhluk) di langit dan di bumi; dan Dia lah jua yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
[5]
(Mereka bukan sahaja menyifatkan Al-Quran itu sihir) bahkan mereka
menuduh dengan berkata: “Al-Quran itu perkara karut yang dimimpikan oleh
Muhammad, bahkan perkara yang diada-adakan olehnya, bahkan Muhammad
sendiri seorang penyair. (Kalaulah ia sebenarnya seorang Rasul) maka
hendaklah ia membawa kepada kita satu mukjizat sebagaimana
mukjizat-mukjizat yang dibawa oleh Rasul-rasul yang telah diutus
dahulu”.
[6]
Tidak ada penduduk sesebuah negeri pun yang Kami binasakan sebelum
mereka, yang telah beriman kepada mukjizat yang diberi kepadanya; maka
benarkah mereka yang meminta mukjizat itu mahu beriman?
[7]
Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan
orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat);
maka bertanyalah kamu kepada AhluzZikri” jika kamu tidak mengetahui.
[8]
Dan Kami tidak menjadikan Rasul-rasul itu bertubuh badan yang tidak
makan minum, dan mereka pula tidak akan kekal hidup selama-lamanya (di
dunia).
[9]
Kemudian Kami tepati janji Kami kepada mereka, lalu Kami selamatkan
mereka dan sesiapa yang Kami kehendaki, dan (sebaliknya) Kami binasakan
orang-orang yang melampaui batas.
[10]
Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab (Al-Quran)
yang mengandungi perkara yang menimbulkan sebutan baik dan kelebihan
untuk kamu, maka mengapa kamu tidak memahaminya (dan bersyukur akan
nikmat yang besar itu)?
[11]
Dan berapa banyak Kami telah pecah-belahkan dan binasakan penduduk
negeri yang melakukan kezaliman, dan Kami telah menjadikan sesudah
mereka, kaum yang lain sebagai gantinya.
[12]
Maka ketika mereka merasai (kedatangan) azab Kami, mereka dengan serta-merta lari keluar dari negeri itu.
[13]
(Lalu dikatakan kepada mereka): “Janganlah kamu lari, dan sebaliknya
kembalilah kepada kemewahan hidup yang telah diberikan kepada kamu, dan
ke tempat-tempat tinggal kamu, supaya kamu dapat ditanya mengenai apa
yang berlaku”.
[14]
(Akhirnya) mereka berkata: “Aduhai celakanya kami! Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berlaku zalim!”
[15]
Maka demikianlah seterusnya jeritan dan keluhan mereka, sehingga Kami jadikan mereka hancur lebur dan sunyi-sepi.
[16]
Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main.
[17]
Sekiranya Kami hendak mengambil sesuatu untuk hiburan, tentulah Kami akan mengambilnya dari sisi Kami; Kami tidak melakukannya.
[18]
Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu
ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah dia. Dan
(tetaplah) kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu
sifatkan (terhadap Kami).
[19]
Dan (ingatlah) segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik
kepunyaan Allah jua; dan malaikat-malaikat yang ada di sisiNya tidak
membesarkan diri dan tidak enggan daripada beribadat kepadaNya, dan
tidak pula mereka merasa penat dan letih.
[20]
Mereka beribadat malam dan siang, dengan tidak berhenti-henti.
[21]
Adakah benda-benda dari bumi yang mereka jadikan tuhan-tuhan itu, dapat menghidupkan semula sesuatu yang mati?
[22]
Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah,
nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu
kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai
Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.
[23]
Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.
[24]
Patutkah mereka menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah? Katakanlah
(wahai Muhammad): “Bawalah keterangan dan bukti kamu; kandungan Al-Quran
ini menjadi peringatan dan bukti tauhid umatku, juga peringatan dan
bukti tauhid umat-umat yang dahulu daripadaku”. (Kaum musyrik tidak
mempunyai sebarang keterangan) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui
mana yang benar dan mana yang salah, dengan sebab itulah maka mereka
berpaling ingkar.
[25]
Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun
melainkan Kami wahyukan kepadanya: “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan
(yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu
kepadaKu”.
[26]
Dan mereka (yang musyrik) berkata: “(Allah) Ar-Rahman mempunyai anak”.
Maha Sucilah Ia. Bahkan (mereka yang dikatakan menjadi anak Allah itu)
ialah hamba-hambaNya yang dimuliakan.
[27]
Mereka tidak mendahuluiNya dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang diperintahkanNya.
[28]
Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan),
dan apa yang di belakang mereka (yang akan mereka lakukan); dan mereka
tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah; dan
mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azabNya.
[29]
Dan (jika ada) sesiapa di antara mereka berkata: “Sesungguhnya aku ialah
tuhan selain dari Allah”, maka yang berkata sedemikian itu, Kami akan
membalasnya dengan (azab) neraka jahannam; demikianlah Kami membalas
golongan yang zalim.
[30]
Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa
sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai
benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan
dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu
beriman?
[31]
Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya
bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah
sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada
mencapai keperluan rohani dan jasmani.
[32]
Dan Kami telah menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan
terkawal, sedang mereka (yang kafir itu) berpaling tidak memerhatikan
tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang ada padanya.
[33]
Dan Dia lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta
matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat
edaran masing-masing (di angkasa lepas).
[34]
Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal
(di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad),
adakah mereka akan hidup selama-lamanya?
[35]
Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan
dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan
dikembalikan.
[36]
Dan apabila orang-orang kafir itu melihatmu, mereka hanyalah menjadikan
perkara yang engkau sampaikan itu sebagai ejek-ejekan sahaja, sambil
berkata sesama sendiri: “Inikah dia orangnya yang mencaci tuhan-tuhan
kamu?” (Mereka berkata demikian) sedang mereka sendiri kufur ingkar
kepada Al-Quran yang mengandungi peringatan Allah yang melimpah-limpah
rahmatNya.
[37]
Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya; Aku
(Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanKu; maka
janganlah kamu meminta disegerakan (kedatangannya).
[38]
Dan (kerana tabiat terburu-burunya) mereka berkata: “Bilakah berlakunya
janji azab itu, jika betul kamu orang-orang yang berkata benar?”.
[39]
Kalaulah orang-orang kafir itu mengetahui apa yang akan menimpa mereka
ketika mereka tidak dapat menahan atau mengelakkan api neraka dari muka
dan belakang mereka, dan mereka pula tidak diberi pertolongan, (tentulah
mereka segera beriman, dan tidak berkata demikian).
[40]
(Mereka tidak diberitahu akan masa itu) bahkan (yang dijanjikan) itu
akan datang kepada mereka secara mengejut, serta terus membingungkan
mereka; maka mereka tidak akan terdaya menolaknya, dan tidak akan diberi
tempoh bertaubat.
[41]
Dan demi sesungguhnya, telah diperolok-olokkan beberapa Rasul sebelummu,
lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka, ditimpakan
balasan azab bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.
[42]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang dapat menjaga keselamatan
kamu pada malam dan siang daripada azab Tuhan yang bersifat Maha
Pemurah?” (Mereka tidak memikirkan yang demikian) bahkan mereka tetap
berpaling ingkar dari pengajaran Tuhan mereka.
[43]
Tidak ada bagi mereka tuhan-tuhan yang dapat melindungi mereka dari azab
Kami. Mereka yang dipertuhankan itu tidak dapat menolong dirinya
sendiri, dan tidak pula mereka dibantu dengan pertolongan dari pihak
Kami.
[44]
(Bukan benda-benda yang dipertuhankan itu yang memberi kesenangan kepada
mereka) bahkan Kami biarkan mereka dan datuk-nenek mereka menikmati
(kesenangan hidup) hingga berlanjutanlah umur mereka (dalam keadaan yang
menyebabkan berlaku perkara yang tidak diingini mereka). Maka tidakkah
mereka melihat bahawa kami datangi daerah bumi yang mereka kuasai dengan
menguranginya sedikit demi sedikit dari sempadan-sempadannya? Jika
demikian halnya, maka adakah mereka yang akan menang?
[45]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah memberi amaran
kepada kamu dengan wahyu (Al-Quran yang diturunkan Allah kepadaku); dan
sudah tentu orang-orang yang pekak tidak dapat mendengar seruan apabila
mereka diberi amaran, (maka janganlah kamu menjadi pekak kerana azab
Tuhan amatlah berat).
[46]
Dan demi sesungguhnya, jika mereka disentuh oleh sedikit sahaja dari
azab Tuhanmu, sudah tentu mereka akan berkata: “Aduhai celakanya kami!
Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri)!”
[47]
Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk
(menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri
sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji
sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan
dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.
[48]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Musa dan Nabi
Harun Kitab (Taurat) yang membezakan antara yang benar dengan yang
salah, dan yang menjadi cahaya yang menerangi, serta yang mengandungi
pengajaran, bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.
[49]
Iaitu mereka yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhannya semasa mereka
tidak dilihat orang, dan mereka pula gerun cemas akan
(peristiwa-peristiwa yang mengerikan pada) hari kiamat.
[50]
Dan Al-Quran ini juga pengajaran yang berkat, yang Kami turunkan (kepada
Nabi Muhammad); dengan keadaan yang demikian maka patutkah kamu
mengingkarinya?
[51]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum
itu jalan yang benar dalam bertauhid, dan Kami adalah mengetahui akan
halnya.
[52]
Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?”
[53]
Mereka menjawab: “Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya”.
[54]
Ia berkata: “Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata”.
[55]
Mereka bertanya: “Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar
(sebagai seorang Rasul), atau engkau dari orang-orang yang bermain-main
sahaja?”
[56]
Ia menjawab: “(Bukan bermain-main) bahkan (untuk menegaskan bahawa)
Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dia lah yang
menciptanya; dan aku adalah dari orang-orang yang boleh memberi
keterangan mengesahkan yang demikian itu.
[57]
“Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala
kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala ini)”.
[58]
Lalu ia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala
mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya.
[59]
(Setelah melihat kejadian itu) mereka bertanya: “Siapakah yang melakukan
perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah
ia dari orang-orang yang zalim”.
[60]
(Setengah dari) mereka berkata: “Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya”.
[61]
(Ketua-ketua) mereka berkata: “Jika demikian, bawalah dia di hadapan
orang ramai supaya mereka menyaksikan (tindakan mengenainya).
[62]
(Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya: “Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?”
[63]
Ia menjawab: “(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang
besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka
kalau-kalau mereka dapat berkata-kata”.
[64]
Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan
hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): “Sesungguhnya kamulah sendiri
orang-orang yang zalim”.
[65]
Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata:
“Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa
berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau
menyuruh kami bertanya kepadanya)?”
[66]
Nabi Ibrahim berkata: “Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain
dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun
kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu?
[67]
“Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah!
Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?”
[68]
(Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata:
“Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu
bertindak membelanya!”
[69]
Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! “.
[70]
Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara
yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi,
(kalah dengan hinanya).
[71]
Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.
[72]
Dan Kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya)
sebagai tambahan; dan tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami jadikan orang
yang soleh.
[73]
Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke
jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka
mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat;
dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.
[74]
Dan kepada Nabi Lut, Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu; dan
Kami selamatkan dia dari bandar yang penduduknya selalu melakukan
perkara-perkara yang keji; sesungguhnya mereka itu adalah kaum jahat,
yang fasik, derhaka.
[75]
Dan Kami masukkan Nabi Lut dalam (kumpulan mereka yang dilimpahi) rahmat Kami; sesungguhnya dia dari orang-orang yang soleh.
[76]
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Nuh, ketika ia menyeru (berdoa kepada
Kami) sebelum (Nabi-nabi yang tersebut) itu, lalu Kami perkenankan
doanya serta Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya dari kesusahan
yang besar.
[77]
Dan Kami membelanya dari angkara kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami;
sesungguhnya adalah mereka kaum yang jahat; lalu Kami tenggelamkan
mereka semuanya (sehingga mati lemas dengan taufan).
[78]
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika
mereka berdua menghukum mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan
oleh kambing kaumnya pada waktu malam; dan sememangnya Kamilah yang
memerhati dan mengesahkan hukuman mereka.
[79]
Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi
masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat
kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang
dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami
berkuasa melakukan semuanya itu.
[80]
Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk
menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah
kamu sentiasa bersyukur?
[81]
Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya,
bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya;
dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[82]
Dan (Kami mudahkan) sebahagian dari Syaitan-syaitan untuk menyelam
baginya, serta melakukan kerja-kerja yang lain dari itu; dan adalah Kami
mengawal mereka (daripada melanggar perintahnya).
[83]
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada
Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang
Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang
mengasihani”.
[84]
Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit
yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan
seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu
peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan
mendapat balasan baik).
[85]
Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.
[86]
Dan Kami masukkan mereka dalam (kumpulan yang dilimpahi) rahmat Kami: sesungguhnya mereka adalah dari orang-orang yang soleh.
[87]
Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan
kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami
tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku
kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang
gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat
menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada
melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari
orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.
[88]
Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari
kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya
Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu
kepada Kami).
[89]
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada
Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku
seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua
sebaik-baik yang mewarisi”.
[90]
Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya)
Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk
melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada
Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa
berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada
kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa
khusyuk (dan taat) kepada Kami.
[91]
Dan (sebutkanlah peristiwa) perempuan yang telah menjaga kehormatan dan
kesuciannya; lalu Kami tiupkan padanya dari Roh (ciptaan) Kami, dan Kami
jadikan dia dan anaknya sebagai satu tanda (yang menunjukkan kekuasaan
Kami) bagi umat manusia.
[92]
Sesungguhnya ugama Islam inilah ugama kamu, ugama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.
[93]
(Kebanyakan manusia masih berselisihan) dan berpecah-belah dalam urusan
ugama mereka; (ingatlah) mereka semuanya akan kembali kepada kami (untuk
menerima balasan).
[94]
Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu amal kebaikan,
sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya; dan
sesungguhnya Kami tetap menulisnya.
[95]
Dan mustahil kepada penduduk sesebuah negeri yang Kami binasakan, bahawa
mereka tidak akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan di
akhirat kelak).
[96]
(Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok yang menyekat
Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang
tinggi.
[97]
Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar, maka dengan
serta-merta pandangan mata orang-orang yang kufur ingkar terbeliak
(sambil berkata dengan cemas): “Aduhai celakanya Kami. Sesungguhnya kami
telah tinggal dalam keadaan yang melalaikan kami daripada memikirkan
perkara ini, bahkan kami telah menjadi orang-orang yang menganiaya diri
sendiri”.
[98]
Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah,
menjadi bahan-bahan bakaran yang dilimparkan ke dalam neraka Jahannam;
kamu (sudah tetap) akan memasukinya.
[99]
Kalaulah mereka (yang kamu sembah) itu tuhan-tuhan, tentulah mereka
tidak masuk ke dalam neraka; dan (ketahuilah), semuanya (yang menyembah
dan yang disembah) akan kekal dalam neraka selama-lamanya.
[100]
Mereka mendayu-dayu (kesakitan) di dalam neraka, dan mereka pula di situ tidak dapat mendengar sesuatu yang menyenangkan.
[101]
Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap dari dahulu lagi memperoleh kebaikan dari Kami, mereka dijauhkan dari neraka itu.
[102]
Mereka tidak mendengar suara (julangan) api neraka itu, dan mereka akan
kekal selama-lamanya di dalam (nikmat-nikmat Syurga) yang diingini oleh
jiwa mereka.
[103]
Huru-hara besar yang amat mengerikan (pada hari kiamat) itu tidak
merunsingkan mereka, dan (sebaliknya) mereka disambut oleh
malaikat-malaikat dengan berkata: “Inilah hari kamu (beroleh
kebahagiaan), yang telah dijanjikan kepada kamu (di dunia) dahulu”.
[104]
(Ingatlah) hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran surat
catitan; sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami
ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami;
sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya.
[105]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-kitab yang Kami
turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz: “Bahawasanya bumi itu
akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh”.
[106]
Sesungguhnya Al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup
bagi orang-orang yang (cita-citanya) mengerjakan ibadat (kepada Allah
dengan berilmu).
[107]
Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
[108]
Katakanlah: “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan
ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah
kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?”
[109]
Sekiranya mereka berpaling ingkar maka katakanlah: “Aku telah
memberitahu kepada kamu (apa yang diwahyukan kepadaku) dengan keterangan
yang jelas untuk kita bersama; dan aku tidak mengetahui sama ada
(balasan buruk) yang dijanjikan kerana keingkaran kamu itu, sudah dekat
atau masih jauh.
[110]
Sesungguhnya Allah mengetahui akan perkataan yang kamu sebutkan dengan
terus terang, dan juga Ia mengetahui apa yang kamu sembunyikan (di dalam
hati).
[111]
“Dan aku tidak mengetahui (mengapa dilambatkan balasan buruk yang
dijanjikan kepada kamu itu) jangan-jangan lambatnya menjadi satu sebab
yang menambahkan azab kamu, dan di samping itu memberi kamu kesenangan
hidup hingga ke suatu masa yang tertentu”.
[112]
(Nabi Muhammad merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku, hukumkanlah (di
antara kami dengan mereka) dengan yang benar; dan Tuhan kami ialah Yang
Melimpah-limpah rahmatNya yang dipohonkan pertolonganNya terhadap apa
yang kamu sifatkan itu”.
No comments:
Post a Comment