[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya
dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi
orang-orang yang (hendak) bertaqwa;
[3]
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan
mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan)
sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.
[4]
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Quran” yang
diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan
dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan
sepenuhnya).
[5]
Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.
[6]
Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja
kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak
beri amaran, mereka tidak akan beriman.
[7]
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas hati mereka
serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya;
dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar.
[8]
Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah
dan kepada hari akhirat”; padahal mereka sebenarnya tidak beriman.
[9]
Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal
mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak
menyedarinya.
[10]
Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak
dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka;
dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya,
dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).
[11]
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan
kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab: ” Sesungguhnya kami
orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.
[12]
Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang
sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak
menyedarinya.
[13]
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu sebagaimana
orang-orang itu telah beriman”. Mereka menjawab: “Patutkah kami ini
beriman sebagaimana berimannya orang-orang bodoh itu?” Ketahuilah!
Sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh, tetapi mereka tidak
mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
[14]
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka
berkata: ” Kami telah beriman “, dan manakala mereka kembali kepada
syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:” Sesungguhnya kami tetap
bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang
yang beriman)”.
[15]
Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).
[16]
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan
petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula
mereka beroleh petunjuk hidayah.
[17]
Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti
orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya,
(tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka, dan
dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu
pun).
[18]
Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).
[19]
Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari
langit, bersama dengan gelap-gelita, dan guruh serta kilat; mereka
menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara
petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang
(pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.
[20]
Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan
mereka; tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya),
mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap menyelubungi mereka,
berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah
menghendaki, nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka;
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[21]
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah
menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya
kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.
[22]
Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit
(serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya);
dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air
itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka
janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu
semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).
[23]
Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan
(Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan
datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan
panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari
Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.
[24]
Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat
membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan
bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang
disediakan untuk orang-orang kafir.
[25]
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal
soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari
sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: “Inilah yang telah
diberikan kepada kami dahulu”; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama
rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka
dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih
suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.
[26]
Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti)
nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada
hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan
mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau
orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah
membuat perbandingan dengan ini?” (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan
banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan
banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan
menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang
yang fasik;
[27]
(Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah
diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang disuruh Allah supaya
diperhubungkan, dan mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka
bumi. Mereka itu ialah orang-orang yang rugi.
[28]
Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya
mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia
mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat);
akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala
yang kamu kerjakan).
[29]
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi,
kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu
dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu.
[30]
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya
Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya
(tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya
Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat
bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa
bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman:
“Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.
[31]
Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan
gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman:
“Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan
yang benar”.
[32]
Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak
mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami;
sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
[33]
Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua
kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu
kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu,
bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku
mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.
[34]
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri
hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat
melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan
yang kafir.
[35]
Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam
syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu
berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu
menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang
zalim”.
[36]
Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu
dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada
di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu
menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan
tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa
(mati)”.
[37]
Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata
pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya;
sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi
Maha Mengasihani.
[38]
Kami berfirman lagi: “Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian
jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan
Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti
petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak
baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.
[39]
Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
[40]
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah
Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu,
supaya Aku sempurnakan perjanjianKu dengan kamu; dan kepada Akulah
sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang
lain).
[41]
Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang
mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu
menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan
janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli
kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja
hendaklah kamu bertaqwa.
[42]
Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan
kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.
[43]
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah
kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
[44]
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa
akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah
kamu berakal?
[45]
Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan
mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat
kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
[46]
(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.
[47]
Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku telah kurniakan
kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan
(nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada
zamannya).
[48]
Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang
padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa)
sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya,
dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang
bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.
[49]
Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan
orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang
seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan
membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian
itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.
[50]
Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui
(kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu
dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua
menyaksikannya.
[51]
Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi
Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian,
setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu
sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).
[52]
Kemudian sesudah itu kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.
[53]
Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat)
dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan
antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.
[54]
Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: ” Wahai
kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan
sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu
kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang
demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu,
supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha
Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.
[55]
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan
beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan
mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu
semua melihatnya.
[56]
Kemudian kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.
[57]
Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang
pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami
berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah
kurniakan kepada kamu”. Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab
mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya
diri sendiri.
[58]
Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: “Masuklah kamu ke bandar ini,
kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan
sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui
pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan)
berkata: ‘ Ya Allah ampunilah dosa kami ‘; supaya kami ampunkan
kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang
yang berbuat baik”.
[59]
Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan
(perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan
sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala
bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik
(menderhaka).
[60]
Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air untuk kaumnya,
maka Kami berfirman: “Pukullah batu itu dengan tongkatmu”, (ia pun
memukulnya), lalu terpancutlah dari batu itu dua belas mata air;
sesungguhnya tiap-tiap satu puak (di antara mereka) telah mengetahui
tempat minumnya masing-masing. (Dan Kami berfirman): “Makanlah dan
minumlah kamu dari rezeki Allah itu, serta janganlah kamu bertebaran di
muka bumi ini dengan melakukan kerosakan”.
[61]
Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa, kami tidak sabar
(sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja; maka pohonkanlah kepada
Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan bagi kami sebahagian dari apa
yang tumbuh di bumi; dari sayur-sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang
putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya”. Nabi Musa
menjawab: “Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan
meninggalkan yang lebih baik? Turunlah kamu ke bandar kerana di sana
kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu”. Dan mereka ditimpakan dengan
kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan
dari Allah. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka kufur
(mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat
yang membuktikan kebesaranNya); dan mereka pula membunuh Nabi-nabi
dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan
mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.
[62]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan
orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara
mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta
beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka,
dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik)
kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
[63]
Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia kamu semasa Kami
angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil Kami berfirman):
“Terimalah Taurat yang telah Kami berikan kepada kamu (serta amalkanlah)
dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan lupakan) apa yang
tersebut di dalamnya, supaya kamu bertaqwa.
[64]
Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu
(tidak menyempurnakannya); maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia
Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat),
nescaya menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang rugi.
[65]
Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat)
orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu,
lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.
[66]
Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah
bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang
kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
[67]
Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya
Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka
berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan?” Nabi Musa
menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang
dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)”.
[68]
Mereka berkata pula: “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?” Nabi Musa
menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah
seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan
(umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada
kamu melakukannya”.
[69]
Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
diterangkanNya kepada kami apa warnanya?” Nabi Musa menjawab:
“Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor
lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang
melihatnya”.
[70]
Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana
sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah
kami memilihnya), dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk
mencari dan menyembelih lembu itu)”.
[71]
Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang
dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk
membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut
air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang
pada warnanya”. Mereka berkata: “Sekarang baharulah engkau dapat
menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar”. Maka mereka pun menyembelih
lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan
(perintah Allah) itu.
[72]
Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu
tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap
melahirkan apa yang kamu sembunyikan.
[73]
Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukulah si mati dengan sebahagian anggota
lembu yang kamu sembelih itu” (Mereka pun memukulnya dan ia kembali
hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan
memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu
memahaminya.
[74]
Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan
lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan
mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang
pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di
antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah
tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.
[75]
(Sesudah kamu – wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu – mengetahui
tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka bolehkah kamu menaruh
harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan Islam yang kamu
sampaikan itu, padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang
mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan
maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa
perbuatan itu salah)?
[76]
Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah) bertemu
dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “Kami telah beriman”;
dan apabila mereka berjumpa sesama sendiri, mereka berkata: “Patutkah
kamu ceritakan kepada mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah
diterangkan oleh Allah kepada kamu (di dalam Kitab Taurat mengenai
kebenaran Nabi Muhammad) untuk menjadikannya hujah (bukti) yang dapat
mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu? Tidakkah kamu berakal?”
[77]
(Mereka berani berkata demikian) dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya
Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka
lahirkan?
[78]
Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak
mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan
bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada
sangkaan-sangkaan sahaja.
[79]
Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan
tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka),
kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka
dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka
kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan
mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan
itu.
[80]
Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api
neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai
Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan
itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan
atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?”
[81]
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang
berbuat kejahatan dan ia diliputi (ditenggelamkan) oleh kesalahannya
itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
[82]
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.
[83]
Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia
dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah
melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum
kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah
kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah
sembahyang serta berilah zakat”. Kemudian kamu berpaling membelakangkan
(perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan
sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian
setianya.
[84]
Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu:
“(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama
sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung
masing-masing”. Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia
itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).
[85]
Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama
sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya;
kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang
mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka
datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang
perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka
patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat
dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi
orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan
ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam
azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali
lalai akan apa yang kamu lakukan.
[86]
Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia
(dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang
membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan
diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak
akan diberikan pertolongan.
[87]
Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat,
dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan
Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami
teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah,
tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu
(kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan)
sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu
kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?
[88]
Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat
menerima Islam)”. (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah
telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka
sedikit benar mereka yang beriman.
[89]
Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah (Al Quran), yang
mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab Taurat), sedang mereka
sebelum itu sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan atas kaum kafir
musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah
datang kepada mereka apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi
Muhammad dan Al Quran), mereka mengingkarinya; maka (dengan yang
demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar itu.
[90]
Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah perbuatan mereka
membeli kesenangan dirinya sendiri dengan mengingkari Al-Quran yang
telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki bahawa Allah menurunkan dari
limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara
hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah
sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang
yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.
[91]
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu kepada apa yang
telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)”, mereka menjawab:
“Kami hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami
(Taurat)”. Dan mereka ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan
kemudian daripadanya, padahal Al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab
Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian
mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu
benar-benar orang-orang yang beriman?”.
[92]
Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa
keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak
lembu sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah
orang-orang yang zalim.
[93]
Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa
Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman):
“Ambilah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada
kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang
diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)”. Mereka menjawab: “Kami
dengar, dan kami menderhaka”. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak
lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab
kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):” Amatlah jahatnya apa
yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman”.
[94]
Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): “Kalau syurga negeri
akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah,
tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan
itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga),
jika betul kamu orang-orang yang benar”.
[95]
Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu
selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan
Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.
[96]
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu
setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya
mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik.
Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun,
padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari
azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa
melihat akan apa yang mereka lakukan.
[97]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya
ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin
Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya
(yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar
gembira kepada orang-orang yang beriman”.
[98]
Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan
perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya,
khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan diseksa oleh Allah)
kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.
[99]
Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad)
ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al-Quran), dan tidak ada yang
akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik.
[100]
Patutkah (mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan patutkah
tiap-tiap kali mereka mengikat perjanjian setia, dibuang dan dicabuli
oleh segolongan dari mereka? Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman.
[101]
Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi
Muhammad s.a.w), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian
dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah
ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).
[102]
Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir
yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi
Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan
kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan
amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir
dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri
Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun
melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya
kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah
engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga
orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh
menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak
akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir
itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka
mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi
manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu)
telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah
lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat
buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka
mengetahui.
[103]
Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan bertaqwa (nescaya
mereka akan mendapat pahala); sesungguhnya pahala dari sisi Allah itu
adalah lebih baik, kalau mereka mengetahui.
[104]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengatakan: “raaina”,
(ketika kamu berkata-kata dengan Nabi Muhammad), sebaliknya katakanlah:
“unzurna”, dan dengarlah kamu (segala perintah dengan sebulat hati
menerimanya); dan (ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh
azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[105]
Orang-orang kafir dari Ahli kitab, dan juga dari orang-orang musyrik,
tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu sedikit dari kebaikan (atau
wahyu) dari Tuhan kamu Padahal Allah berhak menentukan rahmatNya kepada
sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah
kurnia yang amat besar.
[106]
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang
Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik
daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui
bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?
[107]
Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai
segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah
sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.
[108]
Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari
Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan
mengambil kekufuran, maka sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang
lurus.
[109]
Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya
mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman,
kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada
mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan
biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan
perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[110]
Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa
jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu
akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah
sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.
[111]
Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: “Tidak sekali-kali akan
masuk Syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani”.
Yang demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai
Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan
kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang
benar”.
[112]
(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang
menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula
berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi
Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang
tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
[113]
Dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai
sesuatu pegangan (ugama yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula
berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama
yang benar)”; padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat
dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang
tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh
mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada
hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.
[114]
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan
menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan)
menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan
masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke
dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut
kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan
perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak
mereka mendapat azab seksa yang amat besar.
[115]
Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu
arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap Allah) maka di situlah arah yang
diredhai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah
kurniaNya), lagi sentiasa Mengetahui.
[116]
Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Allah mempunyai anak”. Maha
Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang
memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah
kekuasaanNya.
[117]
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala
keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka
Ia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.
[118]
Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata:
“Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai
kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan
(mukjizat)?” Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu dari
mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati mereka
(sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami
telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan
bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.
[119]
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan
kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang
yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan
(setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta
(bertanggungjawab) tentang ahli neraka.
[120]
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau
suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka
(yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya
petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi
sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah
datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran),
maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat
mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
[121]
Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka
membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan
maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan
sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
[122]
Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah
Kuberikan kepada kamu, dan Aku telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang
taat dahulu) atas umat-umat yang lain (yang ada pada zamannya).
[123]
Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya)
seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun,
dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan
memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah
itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).
[124]
Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa
Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya.
(Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi
Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon
dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari
keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman:
“(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh
orang-orang yang zalim.”
[125]
Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat
tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan
jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami
perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman):
“Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara
yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang
beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan
sujud”.
[126]
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai
Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan
berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya,
iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara
mereka”. Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa
yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang
menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya
(dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat
kembali”.
[127]
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan
binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa
dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami);
sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;
[128]
“Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang
berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat
Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami
syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami;
sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;
[129]
“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan
mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu)
dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat
kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan
maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.
[130]
Tidak ada orang yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain dari orang yang
membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih
Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari
akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi
martabatnya).
[131]
(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri
(kepadaKu wahai Ibrahim)!” Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri
(tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian
alam”.
[132]
Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan
(demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya:
“Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini
menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam
keadaan Islam”.
[133]
(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu
wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir
mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan
sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan
Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha
Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.
[134]
Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka
(balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan)
apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau
dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan.
[135]
Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: “Jadilah kamu pemeluk
ugama Yahudi atau pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat
petunjuk”. Katakanlah (wahai Muhammad: “Kami orang-orang Islam tidak
akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi
Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari
orang-orang musyrik”.
[136]
Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): “Kami beriman kepada Allah,
dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa
yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan
Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan
kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang
diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan
antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu – Yahudi dan
Nasrani – membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah
diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata”.
[137]
Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab
Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh
petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan
sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan
dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah
engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan
umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi
Maha Mengetahui.
[138]
(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam, yang kami
telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh
kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik
celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan
kepadaNyalah kami beribadat”.
[139]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan
Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan
pengurniaanNya ? Padahal Dia lah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami
(faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu (kalau
diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas
kepadaNya;
[140]
“Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail,
dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub beserta anak-anaknya, mereka semua
adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal ugama mereka telahpun
ada sebelum adanya ugama Yahudi atau ugama Kristian itu)?” Katakanlah
(wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan
siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan
(saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?” Dan (ingatlah),
Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.
[141]
Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka
(balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan)
apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau
dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan.
[142]
Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa
sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang
mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan
barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan
Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan
petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang
lurus”.
[143]
Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang
lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan
lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan
kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah
(Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan
kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan
kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan
untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah
yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang
berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal
peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali
kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah
tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat
melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).
[144]
Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang
menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap
kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid
Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka
hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi
dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa
perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan
mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.
[145]
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi
dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang
menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak
akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut
kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat
sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak
hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah
diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari
golongan orang-orang yang zalim.
[146]
Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui
serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka
mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari
mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui
(salahnya perbuatan yang demikian).
[147]
Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi
dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh
itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang
ragu-ragu.
[148]
Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya;
oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana
sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun
pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu.
[149]
Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka
hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya
perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan
(ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu
lakukan.
[150]
Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka
hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja
kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada
lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali
orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan
alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan
takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan
nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah
(mengenai perkara yang benar).
[151]
(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah
seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari
kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada
kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang
mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan,
dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.
[152]
Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan
undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan
bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).
[153]
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk
menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan)
dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya
Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar
[154]
Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam
perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu
orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu
tidak dapat menyedarinya.
[155]
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut
(kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya)
kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah
khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
[156]
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan,
mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada
Allah jualah kami kembali.”
[157]
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai
kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah
orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
[158]
Sesungguhnya “Safa” dan “Marwah” itu ialah sebahagian daripada Syiar
(lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke
Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie
(berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang
bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah
memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.
[159]
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami
turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami
menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat
oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.
[160]
Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka)
serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu,
Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi
Maha Mengasihani.
[161]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, dan mereka mati sedang mereka tetap
dalam keadaan kafir, mereka itulah orang-orang yang ditimpa laknat
Allah dan malaikat serta manusia sekaliannya.
[162]
Mereka kekal di dalam laknat itu, tidak diringankan azab sengsara dari
mereka dan mereka pula tidak diberikan tempoh atau perhatian.
[163]
Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak
disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
[164]
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam
dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa
benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air
hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya
tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari
berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan
awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit
dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang
membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan
rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.
[165]
(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain
dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya,
(memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang
orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan
kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui
ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya
kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa
sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak
melakukan kezaliman itu).
[166]
(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari
orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa
ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di
antara mereka.
[167]
Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang
menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami
berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada
kami (pada saat ini)!” Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka
amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat
sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari
neraka.
[168]
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal
lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana
sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
[169]
Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang
keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang
kamu tidak ketahui (salah benarnya).
[170]
Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah
diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya)
menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah
(mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu
(apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat
petunjuk hidayah (dari Allah)?
[171]
Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak
mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil
binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan
sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh
sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.
[172]
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik
(yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah
kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.
[173]
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan
darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak
kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia
tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda
yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[174]
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah)
apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan
membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu
tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak
akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak
membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa
yang tidak terperi sakitnya.
[175]
Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan
petunjuk (ugama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan
meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka
menanggung seksa api neraka itu.
[176]
(Segala balasan yang buruk) itu adalah dengan sebab Allah telah
menurunkan Kitab dengan mengandungi kebenaran (tetapi mereka berselisih
padanya); dan sesungguhnya orang-orang yang berselisihan mengenai
(kebenaran) kitab, itu sebenarnya mereka adalah dalam keadaan
berpecah-belah yang jauh (dari mendapat petunjuk hidayah Allah).
[177]
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak
timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada
Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan
sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia
menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan
orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada
orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan
mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan
perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka
membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa
kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur
dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya),
mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan
kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.
[178]
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman
“Qisas” (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati
dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan
hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang
dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka
hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam
menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan
bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah
suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah
itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka
baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[179]
Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.
[180]
Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada
meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan
kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai
suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.
[181]
Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia mendengarnya,
maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang
mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[182]
Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak
adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara
mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan
ugama), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
[183]
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana
diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu
bertaqwa.
[184]
(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka
sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia
berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu
pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya
berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan
orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran
fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan
baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu
daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.
[185]
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang
padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan
menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan
(menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu,
sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau
mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang
sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia
berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.
(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh
kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga
supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu
membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu
bersyukur.
[186]
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu
kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada
mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa
kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi
perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi
baik serta betul.
[187]
Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh)
dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian
bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui
bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu
dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan
carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah
serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang)
dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian
sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah
kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di
masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu
menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada
sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.
[188]
Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di
antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan
harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan
(atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa,
padahal kamu mengetahui (salahnya).
[189]
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak
bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan
waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan
bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian
belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah
perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui
pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”
[190]
Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan
orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan
memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang menceroboh.
[191]
Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu
dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir
kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya
daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar
masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau
mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah
balasan bagi orang-orang yang kafir.
[192]
Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu (maka berhentilah kamu);
kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[193]
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga)
menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka
berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap
orang-orang yang zalim.
[194]
(Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas
pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang
dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu
sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu maka balaslah
pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya
kepada kamu; dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah:
Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
[195]
Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama
Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya
kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan
sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
[196]
Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya
kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah
berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang
mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk
bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di
tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang
menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia
membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam.
Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa
yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus
menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji,
(bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang
mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia
berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi
apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh
(hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal
menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu
bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat
balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).
[197]
(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang
termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya
(dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri
isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar,
dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu
kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal
dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah
memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu
wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).
[198]
Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu
(dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila
kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka
sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar
Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya
sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan
sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang
salah jalan ibadatnya.
[199]
Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat
bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan
memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
[200]
Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu,
maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan
membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji)
datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu,
ada di antara manusia yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami!
Berilah kami kebaikan) di dunia”. (orang-orang ini diberikan kebaikan di
dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan di akhirat.
[201]
Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan
kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan
peliharalah kami dari azab neraka”.
[202]
Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari apa yang telah mereka usahakan; dan Allah amat cepat hitunganNya.
[203]
Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji)
dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang
segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah
berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga
tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa
dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya
kamu akan dihimpunkan kepadanya.
[204]
Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal
kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia
(bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang
ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya
(kepadamu).
[205]
Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di
bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman
dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka
kepada bencana kerosakan.
[206]
Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertaqwalah engkau kepada Allah”
timbulah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya
itu). Oleh itu padanlah ia (menerima balasan azab) neraka jahannam dan
demi sesungguhnya, (neraka jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat
tinggal.
[207]
Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari
keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan
hamba-hambanya.
[208]
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam
(dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut
jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang
terang nyata.
[209]
Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan disebabkan
tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-keterangan yang jelas
kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.
[210]
(Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab)
Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan
malaikat (yang menjalankannya), padahal telahpun diputuskan perkara itu
(balasan azab yang menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya
segala urusan.
[211]
Bertanyalah kepada Bani Israil, berapa banyak keterangan-keterangan yang
telah Kami berikan kepada mereka (sedang mereka masih ingkar)? dan
sesiapa menukar nikmat keterangan Allah (dengan mengambil kekufuran
sebagai gantinya) sesudah nikmat itu sampai kepadaNya, maka (hendaklah
ia mengetahui) sesungguhnya Allah amat berat azab seksaNya.
[212]
Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat
indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak
sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal
orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya)
daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah),
Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak
terkira (menurut undang-undang peraturanNya).
[213]
Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang
satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan
Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang
beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang
yang ingkar dengan balasan azab neraka); dan Allah menurunkan bersama
Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-keterangan
yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang
mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan
perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka
Kitab-kitab Suci itu, iaitu sesudah datang kepada mereka
keterangan-keterangan yang jelas nyata, – mereka berselisih semata-mata
kerana hasad dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk
kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan
oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. Dan Allah sentiasa
memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan
yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).
[214]
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum
sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada
orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan
(kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh
ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang
beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”
Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu
bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
[215]
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka
belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang
halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan
kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan
orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua
yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah
sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).
[216]
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang
peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci
kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka
kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah
Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
[217]
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang
dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu
adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam)
dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan
menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta
mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi
dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar
(dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang
dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu
hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka
sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa di antara kamu yang
murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati
sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah
amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah
ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).
[218]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah
serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka
itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[219]
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.
Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat
bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan
mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan
(dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari
keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya
(keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:
[220]
Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka
bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak
yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah
baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada
salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama);
dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka)
daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki
tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan
mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[221]
Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik
sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang
hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir
musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu
(kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik
sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang
hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik,
sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana
orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga
dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan
ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia,
supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).
[222]
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid.
Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan)
mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri
dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang
darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh)
sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka
datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada
kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat,
dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.
[223]
Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu
datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan
sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah
kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada
hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada
orang-orang yang beriman.
[224]
(Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai
benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta
mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah
sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.
[225]
Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak
dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Ia mengira kamu bersalah (dan akan
mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan)
oleh hati kamu (dengan niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Penyabar.
[226]
Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri
mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali
(mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
[227]
Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri),
maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
[228]
Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan
diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan
tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang)
anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul
mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka
berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah
mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu
mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka
(terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh
syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai
satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan
(ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[229]
Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu
bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang
sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan
tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah
kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali
jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan
hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat
menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa –
mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus
dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah
aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa
yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang
yang zalim.
[230]
Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang
ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu,
sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia
diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua
(suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali
(maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan
aturan-aturan hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah,
diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.
[231]
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka
(hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk)
dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan
janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi
mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan
sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya
sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu
sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat Allah yang
diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu
iaitu Kitab (Al-Quran) dan ilmu hikmat, untuk memberi pengajaran kepada
kamu dengannya. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah:
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[232]
Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah
mereka ‘ maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka
daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka
(lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang
baik (yang dibenarkan oleh Syarak). Demikianlah diberi ingatan dan
pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan
lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik
untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya.
[233]
Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap
iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan
kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu
menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan
menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita
kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu
menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang
tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu
menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh)
mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah
(melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada
orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan
(upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah
kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat
akan apa jua yang kamu lakukan.
[234]
Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka
meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri
mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah
habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa
yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang
diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui
dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.
[235]
Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara
sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih
dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin
dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau
mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi
janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari
menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu
menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah
sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya
Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah
kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Penyabar.
[236]
Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin)
jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur)
dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka.
Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati)
kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah
memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah
pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut
yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu)
berbuat kebaikan.
[237]
Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan
mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka
mereka berhak mendapat separuh dari maskahwin yang telah kamu tetapkan
itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak)
yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu
dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal
menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu
lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah
sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.
[238]
Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya)
segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan
berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan
khusyuk.
[239]
Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan
atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka
hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara
yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang
kamu tidak mengetahuinya.
[240]
Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan
isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi
nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun
lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian
jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri)
maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang
mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang
patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.
[241]
Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian
saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib
atas orang-orang yang taqwa.
[242]
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumnya supaya kamu memahaminya.
[243]
Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar
(melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang
mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka:”
Matilah kamu ” kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah
sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi
kebanyakan manusia tidak bersyukur.
[244]
Dan berperanglah kamu pada jalan Allah (kerana mempertahankan kebenaran
ugamaNya); dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.
[245]
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai
pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya
dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang
menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu
semua dikembalikan.
[246]
Tidakkah engkau ketahui (wahai muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua
dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata
kepada seorang Nabi mereka: “Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya
boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah” Nabi
mereka menjawab: “Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang,
kamu tidak akan berperang?,” Mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak
akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung
halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?” Maka apabila perang itu
diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali
sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan
orang-orang yang zalim.
[247]
Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah
melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia
mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa
pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta
kekayaan?” Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya
(Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam
lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah),
Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang
dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi
meliputi ilmuNya.
[248]
Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda
kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah
datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi)
ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa
yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti
Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut
itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu
orang-orang yang beriman”.
[249]
Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia:
“Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu
sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari
pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia
dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan
tangannya”. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari
sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari
mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi
sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami
pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata
pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa
banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan
golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa)
bersama-sama orang-orang yang sabar”.
[250]
Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan
tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami!
Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami
serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”
[251]
Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin
Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh
Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa
pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang
dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang
ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan
setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa
melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.
[252]
Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia kepadamu (wahai
Muhammad) dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang
dari Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah.
[253]
Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian
yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka
ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat)
sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan
Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta
Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah
menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada
Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka
keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka
bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan
orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak
berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.
[254]
Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang
telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak
ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi
manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat. Dan orang-orang
kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.
[255] – Ayatul Kursi (The Throne Verse)
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan
(sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang
memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa
yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan
izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada
di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari
(kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu
kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi
langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga
serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat
kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)
[256]
Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata
kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak
percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya
ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak
akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[257]
Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman.
Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan
orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang
mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka
itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
[258]
Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang
berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya,
kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi
Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”.
Ia menjawab: “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim
berkata lagi: “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh
itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir
itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan
petunjuk kepada kaum yang zalim.
[259]
Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang
yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang
itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri
ini sesudah matinya (rosak binasanya)? ” Lalu ia dimatikan oleh Allah
(dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah
hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal
(di sini)?” Ia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau
setengah hari”. Allah berfirman:” (Tidak benar), bahkan engkau telah
tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu,
perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah
keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal
tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk)
menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan
lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya
kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “. Maka apabila telah
jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku
mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu”.
[260]
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai
Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan
makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum
percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku
percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya
tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”. Allah berfirman:
“(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah
olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas
tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah
burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”.
Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[261]
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan
Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh
tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan
(ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang
dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi
ilmu pengetahuanNya.
[262]
Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah,
kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan
perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung
atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan
mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak
baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
[263]
(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan
memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah
(pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang)
menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.
[264]
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah
kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti,
seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya
kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak
beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah
seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa
hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi).
(Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka
tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan.
Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang
kafir.
[265]
Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari
keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang
timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang
tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali
ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun
(cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan
apa yang kamu lakukan.
[266]
Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok
tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia
juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah
tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu
diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia ?
Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya
kamu berfikir (dan mengambil iktibar).
[267]
Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah)
sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa
yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja
memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan
pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil
yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan
mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi
sentiasa Terpuji.
[268]
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan
kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu
melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah
menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan
kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi
sentiasa Meliputi PengetahuanNya.
[269]
Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa
yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa
yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan
yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan
peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
[270]
Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa
sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan
(ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat
menolongnya.
[271]
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang
demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula
kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada
orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan
menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan
(ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu
lakukan.
[272]
Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang
kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan
petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan
memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut
undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu
belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah
untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu
melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan
dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada
kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.
[273]
Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah
menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan
Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi
(untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka: orang kaya – oleh
orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada
meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan
keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan
mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari
harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.
[274]
Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam
dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di
sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian
yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan
berdukacita.
[275]
Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul
melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan
terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah
disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama
sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli
(berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai
kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari
mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum
pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah
kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba
itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
[276]
Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba
dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan)
sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap
orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.
[277]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan
sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan
mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak
baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
[278]
Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan
tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada
orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.
[279]
Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan
riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan
RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu
bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu.
(Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu
juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
[280]
Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup,
maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa
kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu,
kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati
kelak).
[281]
Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu
akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan
tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka
tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.
[282]
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan
dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang
tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu
dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil
(benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah
telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah
orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan
jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah
ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang
berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak
merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan
adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari
kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka
bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang
kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari
saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang
seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil
menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang
bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang
demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan
(menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak
menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai
yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak
menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah
mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan
(apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah
perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu
bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini)
mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[283]
Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi
hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka
hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang
memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang
berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka
hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan
bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah ia bertaqwa
kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang
menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. dan
sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang
berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang
kamu kerjakan.
[284]
Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah.
Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu
memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya
kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya
dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang
peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[285]
Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari
Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada
Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya.
(Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang
lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat
(kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat
kembali”.
[286]
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia
mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa
kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai
Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau
kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami
bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada
orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah
Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan
maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah
rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami
untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.
No comments:
Post a Comment