[1]
Segala puji terentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya
(Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu
yang bengkok (terpesong):
[2]
(Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran
untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang
seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada
orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka
akan beroleh balasan yang baik.
[3]
Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-lamanya.
[4]
Dan juga Al-Quran itu memberi amaran kepada orang-orang yang berkata:” Allah mempunyai anak”.
[5]
(Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya,
dan tiada juga bagi datuk nenek mereka; besar sungguh perkataan syirik
yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan perkara yang
dusta.
[6]
Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu
disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk
mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini.
[7]
Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai
perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di
antaranya yang lebih baik amalnya.
[8]
Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu (punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.
[9]
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah “Ashaabul Kahfi”
dan “Ar-Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang
membuktikan kekuasaan Kami?
[10]
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke
gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat
dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami
untuk keselamatan ugama kami”.
[11]
Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.
[12]
Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji
siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya,
tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu).
[13]
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar;
sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan
mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.
[14]
Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa
mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan
yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali
akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang
lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari
kebenaran.”
[15]
(Mereka berkata pula sesama sendiri): “Kaum kita itu, menyembah beberapa
tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan
yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah
itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang
lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.
[16]
Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa
yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung
di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu,
dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu
dengan memberikan bantuan yang berguna”.
[17]
Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari
gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri,
sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah
dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi
hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai
kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak
sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan
yang benar) kepadanya.
[18]
Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami
balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah
kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu
gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling
melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa
sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.
[19]
Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya
mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya
bertanya: “Berapa lama kamu tidur?” (sebahagian dari) mereka menjawab:
“Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari”.
(Sebahagian lagi dari) mereka berkata: “Tuhan kamu lebih menengetahui
tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu,
membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan
memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual
di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan
daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh
(semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan
sesiapapun menyedari akan hal kamu.
[20]
“Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan
merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu
kepada ugama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu
tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya”.
[21]
Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya
orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang
mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak
padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan
sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu
maka (sebahagian dari) mereka berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di
sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”.
orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata:
“Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”.
[22]
(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga
orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula
berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka”
– secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan
setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang
kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku
lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui
bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas
dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara
sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah
engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari
golongan (yang membincangkannya).
[23]
Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan):
“Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”.
[24]
Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya Allah”. Dan
ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah:
“Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan
lebih terang dari ini”.
[25]
Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: Tiga ratus tahun dengan
kiraan Ahli Kitab), dan sembilan lagi (dengan kiraan kamu).
[26]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah jua yang mengetahui tentang masa
mereka tidur; bagiNya lah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit
dan bumi; terang sungguh penglihatanNya (terhadap segala-galanya)!
Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan
Ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya.
[27]
Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu;
tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya; dan engkau tidak
sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya.
[28]
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang
beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang
mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau
memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan
kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami
ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami
di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya
pula adalah melampaui kebenaran.
[29]
Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari
Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan
sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami
telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka,
yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan
kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti
tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan
amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.
[30]
Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami
tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki
amalnya.
[31]
Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di
bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan
gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang
nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan
berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah
balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga tempat berehat
yang semolek-moleknya.
[32]
Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan
bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami
kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan
di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain.
[33]
Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi
sedikitpun dari hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya
sebatang sungai.
[34]
Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia
kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: “Aku lebih banyak harta
daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang
ramai”.
[35]
Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku
zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata:
“Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.
[36]
Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku
dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku
akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.
[37]
berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: “Patutkah
engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah,
kemudian dari air benih, kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai
seorang lelaki?
[38]
Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah
Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku.
[39]
Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah
barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan
pertolongan Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta
dan anak, berbanding denganmu,
[40]
Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada
kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana
dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.
[41]
Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi”.
[42]
Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah
ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap
segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya,
sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia
berkata: “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan
Tuhanku!”
[43]
Dan ia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain
dari Allah; dan ia pula tidak dapat membela dirinya sendiri.
[44]
Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya
tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik
pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia
(kepada hamba-hambaNya yang taat).
[45]
Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini
samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur
aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia)
disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin;
dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[46]
Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan
amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu
sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi
harapan.
[47]
Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan
engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami
himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan
seorangpun dari mereka.
[48]
Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan berbaris teratur,
(sambil dikatakan kepada mereka): “Kamu sekarang telah datang kepada
Kami – (berseorangan) sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya;
bahkan kamu dahulu menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi
kamu masa yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah
janjikan)”.
[49]
Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan
melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang
tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami,
mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil
atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala
yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah)
Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.
[50]
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:
“Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia
adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah
Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan
keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain
daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya
bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.
[51]
Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu menciptakan langit
dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan setengahnya untuk menciptakan
setengahnya yang lain; dan tidak sepatutnya Aku mengambil
makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.
[52]
Dan (ingatkanlah) masa Allah berfirman: “Panggilah sekutu-sekutuKu yang
kamu katakan itu (untuk menolong kamu); lalu mereka memanggilnya, tetapi
sia-sia sahaja, kerana makhluk-makhluk itu tidak menyahut seruan
mereka: dan kami jadikan untuk mereka bersama sebuah tempat azab yang
membinasakan.
[53]
Dan orang-orang yang berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka
yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya dan mereka tidak
akan mendapati sebarang jalan untuk mengelakkan diri daripadanya.
[54]
Dan demi sesungguhnya Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di
dalam Al-Quran ini untuk umat manusia, dari segala jenis contoh
bandingan; dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak
sekali bantahannya.
[55]
Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika datang
petunjuk Al-Quran kepada mereka, dan daripada memohon ampun kepada Tuhan
mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka dan kerana mereka) menunggu
didatangi azab yang memusnahkan yang telah menimpa orang-orang dahulu,
atau di datangi azab yang dilihat dan dihadapi.
[56]
Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita
gembira dan pemberi amaran; dan orang-orang yang kafir membantah dengan
alasan yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu; dan
mereka jadikan ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada mereka
sebagai ejek-ejekan.
[57]
Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat
dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling daripadanya dan lupa akan
apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya; sesungguhnya (disebabkan
bawaan mereka yang buruk itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas
hati mereka, menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan)
pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak). Dan jika
engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang
demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh hidayah petunjuk
selama-lamanya.
[58]
Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatnya. Jika Ia mahu
menyeksa mereka (di dunia) disebabkan apa yang mereka telah usahakan,
tentulah Ia akan menyegerakan azab itu menimpa mereka; (tetapi Ia tidak
berbuat demikian) bahkan ditentukan bagi mereka satu masa yang mereka
tidak sekali-kali akan dapat sebarang tempat perlindungan, yang ialah
daripadanya.
[59]
Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu Kami telah binasakan
ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah tetapkan satu masa
yang tertentu bagi kebinasaan mereka.
[60]
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada temannya:
“Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat
pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun”.
[61]
Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua laut itu,
lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu menggelunsur menempuh
jalannya di laut, yang merupakan lorong di bawah tanah.
[62]
Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada
temannya: “Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah
mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini”.
[63]
Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di
batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang
menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan
Syaitan; dan ikan itu telah menggelunsur menempuh jalannya di laut,
dengan cara yang menakjubkan”.
[64]
Nabi Musa berkata: “Itulah yang kita kehendaki “; merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.
[65]
Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami
kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis
ilmu; dari sisi Kami.
[66]
Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat
engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu,
ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?”
[67]
Ia menjawab: “Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.
[68]
Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang engkau tidak mengetahuinya secara meliputi?
[69]
Nabi Musa berkata: “Engkau akan dapati aku, Insyaa Allah: orang yang sabar; dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”.
[70]
Ia menjawab: “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau
bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya
kepadamu”.
[71]
Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu,
ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: “Patutkah engkau membocorkannya
sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya?
Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar”.
[72]
Ia menjawab: “Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”
[73]
Nabi Musa berkata: “Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa
(akan syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang
kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)”.
[74]
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan
seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata “Patutkah engkau
membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang?
Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!”
[75]
Ia menjawab: “Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”
[76]
Nabi Musa berkata: “Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara
sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi;
sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian
disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku”.
[77]
Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada
penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ,
lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di
situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa
berkata: “Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah
mengenainya!”
[78]
Ia menjawab: “Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan
terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang
engkau tidak dapat bersabar mengenainya.
[79]
Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang
bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak
mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang
merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat.
[80]
Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman,
maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan
yang zalim dan kufur.
[81]
Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi
mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan
lebih mesra kasih sayangnya.
[82]
Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di
bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepuyaan mereka; dan
bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki
supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang
terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan
(ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah
penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak
dapat bersabar mengenainya”.
[83]
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain.
Katakanlah: “Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang
menerangkan) sedikit tentang perihalnya”:
[84]
Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di
bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu
yang diperlukannya.
[85]
Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).
[86]
Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya
terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya
satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan
kepadanya): “Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa
mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”.
[87]
Ia berkata: “Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka
kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya,
lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.
[88]
Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang
sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah
kami yang tidak memberati”.
[89]
Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.
[90]
Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya
terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang
perlindungan daripadanya.
[91]
Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.
[92]
kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.
[93]
Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya
satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.
[94]
Mereka berkata: “wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj
sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami
menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan
syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”
[95]
Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku
menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku
dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan
mereka sebuah tembok penutup yang kukuh.
[96]
Bawalah kepadaku ketul-ketul besi”; sehingga apabila ia terkumpul
separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, ddia pun
perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: “Tiuplah dengan alat-alat
kamu” sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api,
berkatalah dia: “Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya”.
[97]
Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya.
[98]
(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: “Ini ialah suatu rahmat dari
Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan
menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar”.
[99]
Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai)
bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan
ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di
Padang Mahsyar.
[100]
Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata;
[101]
(Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup daripada melihat
tanda-tanda yang membawa kepada mengingatiKu, dan mereka pula tidak
dapat mendengar sama sekali.
[102]
Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil
hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah, selain daripadaKu,
dapat menolong mereka? Sesungguhnya Kami telah sediakan neraka Jahannam
bagi orang-orang kafir itu sebagai tempat tetamu.
[103]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?
[104]
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan
dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik
pada apa sahaja yang mereka lakukan”.
[105]
Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan
akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka
akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal
mereka, pada hari kiamat kelak.
[106]
(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan
mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan
Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.
[107]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi
mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).
[108]
Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.
[109]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta
untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering
lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi
lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan”.
[110]
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia
seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang
Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan
Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia
mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya”.
No comments:
Post a Comment